apa nilai dunia?

Isi dunia yang zahir di depan mata ini, segala yang sangat di kasihi oleh hati tidak akan sentiasa menenangkan jiwaku, bahkan di antaranya banyak yang menyukarkan jalan ku. Sedangkan nilai dunia terlalu kecil berbanding akhirat, aisyah.. terlalu jauh dan ketara perbandingannya. Ibarat setitis air dari selautan nikmat Tuhan. Maka tenanglah hati, lepaskan ikatan dunia. Letakkan di telapak tanganmu, agar mudah untuk kau lepaskannya.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari menyekutukanMu dengan sesuatu sedang hamba mengetahuinya dan hamba memohon keampunan kepadaMu terhadap apa yang hamba tidak mengetahuinya..

***********************

Nabi Nuh telah ditanya oleh malaikat pandangan Baginda tentang dunia..

” Wahai Nabi Allah yang hidup paling lama, bagaimanakah pandanganmu tentang dunia? “

” Bahawasanya aku melihat dunia ini seperti dua buah pintu, pada satu ketika aku memasuki melalui salah satu darinya dan kemudian keluar melalui pintu satu lagi “

**************************

Pada suatu hari, seorang lelaki berlari-lari mendapatkan Sayidina Ali dan telah berlaku soal jawab di antara keduanya;

” Wahai Ali, mengapakah Tuhan menjadikan diri ku dan dunia ini? “

” Sesungguhnya telah dicipta dunia dan segala isinya untuk kamu nikmati, dan dijadikan dirimu untuk akhirat “

Advertisements

Semoga Berjaya!

Khusus buat adikku Iddin, anak-anak pelajar di SMK Taman Kenari dan SMK Putrajaya Presint 16(1) yang akan menghadapi SPM bermula esok.

dan berSABARlah

haula2

Terjemahan:
“cukuplah Allah sebaik-baik wakil, sebaik-baik
pemimpin dan sebaik-baik penolong. Tiada daya
dan upaya melainkan dengan (pertolongan dan kekuatan)
Allah yang maha tinggi kedudukan dan maha agung”

Adukanlah susah dan gelisah pada Dia, yang Maha Mendengar dan Mengetahui tentang kedudukan hatimu.. dan Dialah sebenar-benar Penolong.

 

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

“Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati.”

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, “Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini.”

Abu Hassan bertanya, “Bagaimana hal yang merisaukanmu?”

Wanita itu menjawab, “Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, “Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?”

Jawab adiknya, “Baiklah kalau begitu,” Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu.

Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan.

Dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.

Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua.”

Lalu Abul Hassan bertanya, “Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?”

Wanita itu menjawab, “Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka.”

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.

Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya.”

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang.”

Dan sabdanya pula, “Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka.” (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Qala Allah: “Ya ayyuhallazeena aamanu Isbiru wa Saabiru wa Raabitu wa AttaquLlah…..(ilakh)”

sky

cinta dalam tasbih Ramadhan

Maha Suci Allah, Tuhan yang berkuasa ke atas setiap denyut nadi. Dia Tuhan Pemutus yang berhak menentukan apa sahaja pada mahuNya.

Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, diizinkan bertemu semula..bulan mulia yang di angkat tinggi kedudukannya. Di dalamnya tersembunyi malam seribu rahmat, dan telah sampai kepada Rasulullah panduan teragung pemisah di antara iman dan kufur.

Lewat rindu seorang tetamu Ramadhan, teringin menghirup segala santapan dalam hidangan. Semoga Ramadhan ini yang terbaik bagi hamba hingga akhirnya.Ameen.

pray

tamu ramadhan tamu al-Quran (http://nikabduh.wordpress.com/)

Dia mencipta dan Dia memilih. Dia bebas dengan kehendak dan mahuNya. DiciptaNya langit dan bumi, lalu dilayarkan lewat  samudera masa dalam 12 bulan yang berulang – ulang. DipilihNya 4 daripadanya, lalu dinobatkan kemuliaannya sebagai bulan – bulan yang haram (mulia). Itulah pilihanNya sedari alam tercipta di tangan dan mahuNya.

Ramadhan adalah daripada 12 tetapi bukan daripada 4 yang terpilih oleh mahuNya itu. Ia terpinggir dari arus kemuliaan tetapi ia tiada gusar! Ia menanti dalam sabar dan rindu. Ia merindu dalam cinta dan tasbih. Saatnya nabi agung terutus, saatnya umat agung terbangkit, ia akan menari dan bersuka ria dalam malam tiada terperi.

Di malamnya, satu daripada 30, dari lapis langit ketujuh tersaksilah pada sekelian alam kejadian janji agung yang terkota oleh al Rabbul Jalil. Turun berjejeranlah dan berbanjar – banjarlah para malaikat Allah didepani ‘al Ruuh’   beralunan lunak tasbih dan tahmid, memuji dan memuja pada meraikan dan merayakan turunnya sebuah janji agung daripada empunya semesta alam, Rabbul alamiin.

Malam itu al Quran turun. Turunlah dari kota Lauh Mahfuz, dari utuh Ummil Kitab, dari sisi arasyNya yang agung. Turunlah ke lapis terbawah daripada langit yang terhias oleh jutaan bintik – bintik bintang bercahaya berkerdipan bagai lampu – lampu neon di majlis perajaan.

Ia malam penuh berkat. Diberkati dan memberkati. Malam Lailatul Qadr. Malam setanding seribu bulan, sejangkau 80 tahun hayat insani. Berimanlah, beramallah di malam terkota janji ganjaran seribu bulan dalam iman dan amal! Bertempiklah, bertakbirlah, manikam janji yang tidak terperi..

Satu malam yang memberkati 30 malam disekelilingnya. Malam – malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Dia bertandang kepada kita, tetapi kitalah tetamunya, bukan dia tetamu kita. Dia menjamu dan kita dijamu sepuas – puasnya.

Al Quran turun dari langit diiring Jibril ‘alaihissalam menuju insan teragung, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di gua Hira’, gua tauhid dan kebenaran. Bacalah wahai Muhammad, dengan nama Tuhanmu..

Kita di bumi. Al Quran di langit. Ramadhan menarik langit ke bawah dan menolak bumi ke atas. Ramadhan adalah medan masa kita dan al Quran berjabat. Berpeganglah pada tali al Quran sekuat – kuatnya agar kita tidak jatuh ke bumi, ke lembah palsu dan plastik! Atau, al Quran diangkat langit dek tiada yang mengendahinya.

Kallaa!  Tidak sesekali tidak! Inilah umat Muhammad. Tercipta untuk terpilih oleh mahu Empunya alam. Terpilih untuk menjadi pemegang amanah kalamNya yang suci dan yang agung hingga dunia digoncang  janji dan ajal tuannya. Selagi umat Muhammad, selagi itulah al Quran dibaca, ditadabbur dan dilunaskan dalam medan amal dan perjuangan. Dalam hidup dan kehidupan..

Allah, Allah, Allah.. Aku tersyahdu menghirup al QuranMu. Jadikan aku hambaMu. Kerana aku hambaMu.

Selamat berkunjung ke qaryah Ramadhan. Kampung masa yang kudus dan khusyu’ diterangi juntaian neon ayat – ayatNya yang memancar menerangi dunia yang kelam dan gelap.

Puisi lara

ALLAH!!!

Yang bercelaru,

Dalam hatiku biarkan ia pecah

Seribu, datang tenang bawa pergi seribu

Celaru!

Allah!!!!

Aku seru nama-Mu bertalu

Bertalu kuseru nama-Mu dalam hatiku

Bergema, bawa pergi segala celaru

Datanglah tenang, hilangkan sendu

Celaru!!!

Allah!!!!

Aku seru nama-Mu

Bertalu!!!

Aku seru sepenuh rindu

Bertalu-talu, aku rindu

Dekat pada-Mu!!!

Allah!!!

Jangan jauhi aku jangan

Tinggalkan aku jangan

Aku seru nama-Mu bertalu

Penuh rindu jangan jauhi aku

meski selaut dosaku, jangan

Jangan tinggalkan aku! Jangan padamkan

Cahaya pedoman-Mu

Jangan padamkan jangan

Aku ingin tenang dengan-Mu

Tanpa CELARU!!!!

Allah!!!!

Allah!!!!

Allah….aku seru-Mu

Sehingga nafasku menyusut

Hilang sakitku!

Oleh: Zaharah Muhammad

http://bintimuhammad.wordpress.com/
berdoa

Wasiat dari sahabat

” Aisyah, akak ada perkara nak bagitau awak.. Ini amanah dari seorang sahabat, minta akak sampaikan pada awak.”

” Ish.. Kak Gee ni buat saya suspen la. Ok, akak bagitau dulu dari siapa ni?”

” Kak Lala.. “

Malam itu selepas program, saya sempat berbual dengan Kak Gee. Saya suka Kak Gee.. selain pada senyumannya yang manis macam madu, Kak Gee pada saya seorang yang istimewa. Penampilannya sederhana, tapi apabila mendampinginya saya seolah-olah dapat menumpang ketenangan yang ada padanya. Sehingga kini, walaupun hampir dua tahun tak bertemu Kak Gee saya masih merasainya bila hadir memori bersamanya.

” Ok, awak dengar ye..”

Dan Kak Gee membacakan ayat ini, tartil..

dinar

“….Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Ath-Tholaaq [65]: 2-3).

Menerima wasiat ini dada jadi sesak, saya terharu. Bukan kerana tak pernah mendengarnya, Alhamdulillah ayat ini telah menjadi amalan saya sejak bersekolah menengah. Saya jadi terharu kerana menerima wasiat sebegini dari seorang sahabat. Subhanallah.. Terima kasih pada Kak Lala dan Kak Gee yang menyampaikan wasiat ini dari hati mereka, lalu jatuh dan tertantap kukuh di hati saya.

Asbabul Nuzul

Menurut banyak riwayat, sebab ayat ini diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja’i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu.”

Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: ” Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Cari HIKMAH

hikmah

Lumrah hidup dikelilingi cabaran

Menyerang diri tanpa masa dan sempadan

Ilmu dan Iman sebagai pelindung

Teruskan usaha meneruskan perjalanan

Berbekal tawakkal di sisi

Doa senjata misteri

Semoga perjalanan masih dapat diteruskan..

Previous Older Entries