Jauh untuk Dekat

“Suami Mak Long dah 6 tahun mati.. sempat la 13 tahun jaga dia, lumpuh. Tahun ni Dia ambil mak Mak Long, sebulan lepas tu menantu lelaki Mak Long. 16 hari lepas tu pulak anak lelaki Mak Long..”

Mak Long menuturkannya satu persatu. Saya lihat Mak Long senyum, namun ada getar pada suara tuanya.

“Tak dapat cerita macam mana Mak Long rasa, bukan tak redha.. Mak Long bukan tak terima. Yang dah pi tu, tak apa la.. selesai dah depa. Cuma Mak Long susah hati tengok anak cucu bila bapak depa tak ada dah..”

Saya membetulkan duduk, mahu tatap betul-betul mata Mak Long. Hati saya terusik. Seakan Mak Long benar-benar mahu teman bercerita ketika itu. Biarlah saya yang menemaninya, saya juga tahu bagaimana ‘rasa’ itu.

Pertemuan

Pagi itu saya temankan Kak Long ke klinik, rutin pemeriksaan kandungannya. Sememangnya saya telah menduga akan menunggu lama, maka kertas jawapan pelajar yang masih berbaki jadi ‘bekalan’ saya sementara menunggu Kak Long selesai urusan.

Sedang asyik memeriksa kertas, seorang gadis sebangsa mengambil tempat di sebelah kiri saya. Saya mendongak dan menyapanya dengan senyuman. Namun saya jumpa riak gelisah di wajahnya dan sipi-sipi  terdengar omelannya, perlahan tapi cukup untuk menggetarkan gegendang telinga, mencetus impuls elektrik di koklea dan saya faham dia sudah lama menunggu, mungkin lebih lama dari saya. Keinginan untuk memulakan perbualan saya pendamkan dulu.

Seketika, gadis manis itu bangun dan berlalu. Tempat duduknya diganti seorang makcik, kelihatan seusia Mak Long di kampung. Saya ketika itu sudah pening lalat mengadap kertas jawapan, meletakkan pen dan menyambut salam makcik.

Dari perbualan dengan makcik yang selesa membahasakan dirinya Mak Long, awalnya berkisar tentang demam chikugunya yang kebelakangan ini menjadi ancaman kepada negara. Mak Long baru sehari dua benar-benar  kebah daripadanya. Sedikit sebanyak saya faham kondisi Mak Long, seperti Tok di kampung yang turut menjadi mangsa sebulan lalu. Kata Mak Long sakitnya rasa sampai ke tulang kering!

Sakit sebagai peringatan

13 tahun Mak Long menjaga Pak Long, ibarat menatang minyak yang penuh. Segala keperluan Mak Long penuhi demi memastikan keselesaan insan tersayang biarpun dalam keterbatasan kudratnya. Selama tempoh itu juga pelbagai kerja Mak Long buat, demi memastikan persekolahan anak-anak tidak terjejas. Alhamdulillah, Mak Long bersyukur kerana dapat mendidik amanah yang ditinggalkan Pak Long dengan sebaiknya.

Saya kagum dengan kekuatan yang Allah kurniakan pada Mak Long, tulus cintanya membutakan matanya dari memandang dunia. Mak Long makin redha bila diuji dengan kehilangan ibu, anak dan menantunya dalam tempoh yang singkat. Tarbiyah yang datang secara langsung Mak Long sambut dengan lapang dada.

Anak lelaki Mak Long pergi sehari selepas hari terakhir menziarahi Mak Long di kampung. Kata Mak Long, petang itu arwah nampak sihat tiada tanda untuk dia pergi selama-lamanya. Esoknya Mak Long menerima berita kematian anaknya, penyakit jantung merengut hayatnya tanpa isyarat awal!

Menggamit rindu pada Ummi

Pengalaman saya menghadapi pemergian Ummi tercinta sangat perit. Hati pedih bagai disiat-siat, hanya air mata yang dapat menterjemah bahasanya. Kesempatan 2 minggu yang dikurniakan Allah kepada saya untuk menabur khidmat terakhir kepada Ummi amat-amat saya syukuri.

” Anyah dah nak balik Sabtu ni ye..” Ummi sekali lagi bertanya, entah untuk kali ke berapa.

” Ummi.. Pah dengan Mak Nyah kan ada nanti..” Saya cuba memujuk Ummi.

” Tapi tak sama.. Pah tak larat nak angkat Ummi..”

Ya Allah.. runtun hati ini mendengarnya. Ummi memang tak nak susahkan orang. Tapi kudratnya ketika itu tak semampu dulu. Urusan peribadi Ummi perlu dibantu.

Sebetulnya saya menyesal kerana memberitahu Ummi bahawa cuti semester hampir habis. Opah dan Mak Nyah sampai dari kampung sebentar tadi bakal menggantikan tempat saya menguruskan Ummi.

Pada waktu yang lain, soalan yang sama meluncur laju dari bibir Ummi.

” Tak pe, anyah jaga Ummi” Saya menjawab walaupun tak pasti sampai bila. Yang pasti saya mahu terus menjaganya.

Pena telah diangkat. Kalam Allah pada takdir Ummi telah jelas tertulis. Ummi pergi dalam redha Abi dan Opah. Diiringi doa kudus anak-anaknya..

Oh Tuhan.. hamba rindu untuk mendakap tubuh Ummi dan mencium pipi mulusnya..

Tahun ini, masuk tahun keenam Ummi pulang menemui Penciptanya. Dan sepanjang tempoh itu kami tak pernah dapat melupakannya. Mengingat kembali bait kata-kata Abi kepada kami adik-beradik..

” Ummi pergi dengan seribu rahmat dari Tuhan. Allah jauhkan kita untuk kita bertemu dekat di akhirat nanti. Insya Allah..”

3 Comments (+add yours?)

  1. ejah
    Jun 19, 2009 @ 22:22:47

    MENGGAMIT RINDU UMMI…

    x t’lafaz kata rindu, x t’lepas hati bicara cinta yg t’lpas….

    Reply

  2. anaaisyah
    Jun 21, 2009 @ 16:59:48

    cmn boleh komen guna profile anyah a..?

    Reply

  3. ejah
    Jun 26, 2009 @ 02:35:27

    la….dh anyah gne email ejah….haiyya…

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: