Sambutan Hari Guru tahun ini saya sambut dengan lafaz takbir dan hamdalah yang berpanjangan. Doa saya, mohon terus diizinkan Tuhan untuk bersama-sama membajai benih-benih hijau di hadapan saya ini, semoga kelak akan bertunas dan berbuah menjadi penawar buat ummah.
usah peduli kata mereka, yg penting kita yakin dgn keupayaan diri. tahniah!
your future in not in the hand of your teachers, but in your hands!
Saya masih terlalu mentah dalam bidang ini, dan saya sedar bahawa memikul amanah sebagai pendidik mutakhir ini bukan kerja mudah. Rasanya tak salah kalau saya katakan ragam anak-anak sekarang jauh lebih advance dalam sesetengah perkara, tetapi terlalu naif dalam sudut yang lain berbanding anak-anak seusia mereka pada sepuluh tahun dulu. Ini saya jumpa apabila saya bandingkan dengan pengalaman guru-guru yang lebih senior. Mereka ini sudah memikul amanah mendidik ketika saya masih pening bermain angka.
Cabaran paling berat bagi seorang guru setiap hari sebenarnya bukanlah pada tugasnya menyampaikan kandungan pelajaran, tetapi mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan pada hari itu. Kalau ada di kalangan pembaca yang juga guru dan mengajar anak-anak ‘cream‘, mungkin ketahanan yang diperlukan berbeza berbanding imuniti yang diperlukan oleh guru-guru yang berada di sekolah-sekolah harian biasa. Dalam tempoh sekurang-kurangnya 40 minit di dalam kelas, macam-macam yang boleh berlaku. Sumbang langkah cikgu, takut jadi kes naya!
Merelakan diri dalam dunia pendidikan menuntut seorang guru mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya. Kalau mahu pegang wang besar dan impikan mobil mewah, imbuhan kita tak cukup… Kalau mahu dihormati dan disanjungi, bimbang nanti makan hati sendiri… Kalau mahu goyang kaki lepas waktu kerja, belum tentu dapat…
“Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” -Al Quran
Maka saya ingin berpesan pada diri saya sendiri untuk sentiasa IKHLAS dan bersifat IHSAN dalam menjalankan amanah ini. Anak-anak perlu dibentuk mengikut zamannya, then baru kita dapat faham gelojak dalam hati mereka. Dan jiwa yang tenang dan aman hanya dapat dibentuk oleh jiwa yang penuh hikmah dan diredhai Tuhannya. (kalau pembaca rasa ada manfaat dalam pesan ini, silakan kongsi bersama)